Wednesday, April 18, 2007

LATAR BELAKANG JEAN PIAGET

Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Bapanya bernama Arthur Piaget, yang merupakan seorang Profesor Sastera dalam bidang Sejarah dan ibunya pula bernama Rebecca Jackson. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada usia 84 tahun, 1981.

Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun. Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun. Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Jeneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist."


Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi setelah beliau bekerja dengan Binet bagi membentuk ujian keceredasan mental. Semasa bekerja dengan Binet, Jean tidak berminat untuk melihat hasil jawapan betul yang diberikan oleh kanak-kanak, tetapi lebih berminat untuk melihat pola-pola perlakuan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak apabila mereka memberikan jawapan yang salah. Pada pandangan Jean, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan adalah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak.



Soalan-soalan :

1. Di mana dan bilakah Jean Piaget dilahirkan?

a) Helsinki, Finland; 6 Ogos 1898
b) Nauchatel, Swizerland; 9 Ogos 1896
c) Rome, Italy; 3 February 1986
d) Gothenburg, Sweeden; 26 Disember 1888


2. Universiti yang pernah menjadi tempat Jean Piaget melanjutkan pelajaran adalah :

a) University of Swizerland
b) Nauchatel University
c) United Nation University
d) Oxford University


3. Pada usia berapakah Jean Piaget menghembuskan nafas terakhir?

a) 82 tahun
b) 83 tahun
c) 84 tahun
d) 85 tahun

Wednesday, February 28, 2007

PENGENALAN


Sebelum membicarakan tentang teori kognitif Jean Piaget, kita perlu terlebih dahulu mengetahui beberapa konsep penting yang diutarakan oleh beliau. Antara konsep-konsep penting tersebut adalah :
1. Skema
-Ia merujuk kepada potensi am yang ada dalam diri manusia untuk melakukan sesuatu
dengan cara tertentu.
-Contohnya, sewaktu dilahirkan, bayi telah dilengkapkan dengan beberapa gerakan pantulan
yang dikenali sebagai skema seperti gerakan menghisap, memandang, mencapai, merasa,
memegang, serta menggerakkan tangan dan kaki.
-Bagi gerakan memegang, kandungan skemanya adalah memegang benda yang tidak
menyakitkan.
-Oleh itu, bayi juga akan cenderung memegang benda-benda yang tidak menyakitkan seperti
contoh, jari ibu.
-Skema yang ada pada bayi akan menentukan bagaimana bayi bertindakbalas dengan
persekitarannya.

2. Asimilasi
-Asimilasi merupakan satu proses penyesuaian antara objek yang baru diperolehi dengan
skema yang sedia ada.
-Proses asimilasi yang berlaku membolehkan manusia mengikuti sesuatu modifikasi skema
hasil daripada pengalaman yang baru diperolehi.
-Contohnya, seorang kanak-kanak yang baru pertama kali melihat sebiji epal. Oleh itu, kanak-
kanak tersebut akan menggunakan skema memegang (skema yang sedia ada) dan sekaligus
merasanya. Melaluinya, kanak-kanak tersebut akan mendapat pengetahuan yang baru
baginya berkenaan "sebiji epal".
3. Akomodasi
-Merupakan suatu proses di mana struktur kognitif mengalami perubahan.
-Akomodasi berfungsi apabila skema tidak dapat mengasimilasi (menyesuaikan) persekitaran
baru yang belum lagi berada dalam perolehan kognitif kanak-kanak.
-Jean Piaget menganggap perubahan ini sebagai suatu proses pembelajaran.
-Contohnya, kanak-kanak yang berumur dua tahun yang tidak ditunjukkan magnet akan
menyatukan objek baru ke dalam skemanya dan mewujudkan penyesuaian konsep terhadap
magnet itu.
4. Adaptasi
-Ia merupakan satu keadaan di mana wujud keseimbangan di antara akomodasi dan asimilasi
untuk disesuaikan dengan persekitaran.
-Keadaan keseimbangan akan wujud apabila kanak-kanak mempunyai kecenderungan sejadi
untuk mencipta hubungan apa yang dipelajari dengan kehendak persekitaran.

Jean Piaget mendapati kemampuan mental manusia muncul di tahap tertentu dalam proses perkembangan yang dilalui. Menurut beliau lagi, perubahan daripada satu peringkat ke satu peringkat seterusnya hanya akan berlaku apabila kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sesuai dan terdedah kepada pengalaman yang relevan. Tanpa pengalaman-pengalaman tersebut, kanak-kanak dianggap tidak mampu mencapai tahap perkembangan kognitif yang tinggi.

Oleh yang demikian, beliau telah membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap yang mengikut turutan umur. Tahap-tahap perkembangan tersebut ialah :
  • Tahap Sensorimotor @ deria motor (dari lahir hingga 2 tahun)
  • Tahap Praoperasi ( 2 hingga 7 tahun)
  • Tahap Operasi Konkrit (7 hingga 12 tahun)
  • Tahap Operasi Formal (12 tahun hingga dewasa)


Soalan-soalan :

1. "merupakan satu proses penyesuaian antara objek yang baru diperolehi dengan skema yang sedia ada". Hai ini menerangkan .........................

a) skema
b) asimilasi
c) akomodasi
d) adaptasi


2. Terdapat ............... tahap perkembangan kognitif yang diperkenalkan oleh Jean Piaget.

a) 1
b) 2
c) 3
d) 4


3. Tahap sensori motor dikenali juga sebagai .......................

a) tahap praoperasi
b) tahap deria motor
c) tahap operasi konkrit
d) tahap operasi formal

Wednesday, February 14, 2007

TAHAP SENSORIMOTOR (0-2 TAHUN)

Pada tahap ini, bayi melihat kepada hubungan antara badannya dengan persekitaran. Kebolehan deria motornya berkembang dari semasa ke semasa. Bayi tersebut mempelajari tentang dirinya dengan melihat, menyentuh, dan mendengar di sekelilingnya kemudian menirunya. Kebolehan untuk meniru tingkah laku dikenali sebagai pembelajaran melalui pemerhatian (observational learning) (Mussen dan Kagan, 1974). Dalam perkembangan sensorimotor ini, terdapat enam sub tahap yang dikategorikan dengan melihat perkembangan kebolehan tertentu pada umur yang tertentu.


a) Dari lahir hingga satu bulan (refleks)

Bayi hanya mampu melakukan gerakan pantulan. Gerakan pantulan yang diwujudkan lahir melalui tingkah laku pendengaran, penyusunan, gerakan tangan (genggaman dan sebagainya), penyesuaian, pandangan, pergerakan mata dan sebagainya. Gerakan ini belum dapat ditentukan perbezaannya. Sebahagian besar daripada gerakan ini dilakukan ialah untuk keperluan tertentu atau hanya sebagai gerakan pantulan sahaja.




b) Sebulan hingga empat bulan (reaksi asas sekular)

Peringkat pertama pencapaian untuk penyesuaian dan berlakunya reaksi sekular. bayi mula mempunyai pengertian tentang bahagian badannya yang tertentu. Di tahap ini pengalaman memainkan peranan yang penting untuk pembentukan tingkah laku kanak-kanak. Pengalaman boleh didapati daripada perkembangan di tahap pertama. dengan itu tingkah laku kanak-kanak pada tahap kedua ini sudah bergantung kepada andaian sebab musabab yang tertentu untuk mewujudkan sesuatu situasi baru. Pergerakan sistem sensori mula diselaraskan dengan sistem pandangan dan gerakan tangan. bila mendengar sesuatu bunyi, bayi akan menggerakkan kepala dan matanya ke arah punca sumber bunyi. Contohnya, sekiranya bayi tersebut melakukan sesuatu tingkah laku yang ganjarannya akan mendapat menyeronokkan atau menyenangkan, dia akan mengulangi tingkah laku itu lagi.



c) Empat hingga lapan bulan (reaksi sekular kedua)

Di tahap ini bayi mempunyai persediaan untuk membuat pandangan da n pemerhatian yang lebih. Kebanyakan tingkahlaku bayi dihasilkan daripada sesuatu proses pem belajaran. Bayi telah dapat melakukan tingkah laku baru seperti mengambil sesuat u barang lalu menggerakkannya. Di waktu ini, bayi boleh membuat tanggapan ten tang objek dalam tangannya. Contohnya, bayi itu sengaja memasukkan barang mainan ke dalam mulut dengan tujuan untuk mengeta hui atau mengenali barang tersebut.




d) Lapan hingga dua belas bulan ( reaksi kordinasi)

Ia dikatakan sebagai masa pengukuhan di mana keadaan yang wujud sebelumnya disesuaikan di antara satu sama lain. Pada tahap ini, perkembangan mental bayi sudah dapat dikatakan sebagai sebagai berada di tahap perkembangan daya kognitif dan kebolehan mental asas pada bayi. Bayi sudah mengetahui sebab akibat sesuatu keadaan berlaku. Contohnya, apabila menggoncangkan sesuatu alat mainan, ia akan berbunyi.




e) Dua belas bulan hingga lapan belas bulan (reaksi sekular ketiga)

Pada ketika ini, penemuan makna baru melalui pengalaman yang dilalui oleh bayi berlaku secara aktif. hal ini, bayi memerlukan kecepatan untuk melahirkan keseluruhan rangkaian tingkah laku apabila berada di dalam sesuatu situasi baru. di tahap ini, bayi memperlihatkan kemajuan yang pesat berhubung dengan pemahaman sesuatu konsep dan telah mempunyai konsep yang kukuh tentang sesuatu objek. bayi juga mengalami proses cuba jaya tetapi dalam keadaan yang mudah. Contohnya, kanak-kanak ini akan mencuba pelbagai bunyi dan tingkah laku untuk mendapatkan perhatian.


f) Lapan belas bulan hingga dua tahun (penggambaran pemikiran awal)

Berlakunya kombinasi mental di mana kanak-kanak mula mempunyai keupayaan untuk memahami aktiviti permainan dan fungsi simbolik. Pada ketika ini, kanak-kanak dapat mengatasi masalah kaedah cuba jaya dan dapat membezakan jenis-jenis tingkah laku peniruan yang diperhatikan. kanak-kanak juga telah mengetahui tentang peranan jantina dan fungsi individu dalam rumahtangga.



soalan-soalan:

1. Dalam perkembangan deria motor, berapakah tahap yang didasarkan pembahagian mengikut umur?

a. 2
b. 4
c. 6
d. 8


2. Pada umur yang berapakah bayi tersebut mula meniru sebarang pergerakan yang dilihat?

a. 4-8 bulan
b. 8 bulan- 1 tahun
c. 1-1.5 tahun
d. 1.5- 2 tahun


3. Pernyataan manakah yang salah?

a. Pada umur 1-4 bulan, bayi mula bertindak balas dengan menggerakkan kepala dan mata pada
sumber bayi.
b. Pada umur 8-12 bulan, bayi mengalami proses cuba jaya yang mudah.
c. Sejak lahir hingga 1 bulan, bayi masih tidak mampu melakukan gerakan.
d. Kanak-kanak belum berkeupayaan untuk memahami aktiviti permainan pada umur 19 bulan.


4. Apakah yang berlaku pada kanak-kanak berumur 1 tahun 5 bulan?

a. berlakunya proses peniruan
b. mengalami proses cuba jaya yang mudah
c. hanya mampu melakukan genggaman
d. mula memahami fungsi individu dalam rumahtangga.


5. pada tahap deria motor apakah unsur-unsur yang ada?

i pemahaman tentang akibat dan ruang
ii dapat membuat keputusan
iii konsep tentang objek
iv kebolehan mengira

a. i, ii
b. ii, iii
c. iii, iv
d. i, iii









(jawapan:1. c, 2. b, 3. d, 4. b, 5. d)

Monday, January 29, 2007

TAHAP PRAOPERASI ( 2-7 TAHUN )


Menurut Piaget, perkembangan yang paling penting di tahap ini ialah penggunaan bahasa. Kanak-kanak yang berada di tahap ini mula menggunakan simbol di dalam permainan, contohnya mengandaikan buku sebagai kereta apabila ditolak di atas lantai. Namun begitu, dari segi kualiti, pemikiran kanak-kanak masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan orang dewasa. Contohnya, pemikiran kanak-kanak adalah egosentrik di mana, di dunia ini, keseluruhannya dilihat hanya dari perspektif mereka sahaja.

Piaget juga mengatakan bahawa proses perkembangan kognitif kanak-kanak menjadi lebih sempurna menerusi tiga kebolehan asas yang berlaku iaitu :
  1. Perkembangan kebolehan mental kanak-kanak untuk melakukan tingkah laku yang ketara seperti kebolehan mengira.
  2. Melalui latihan yang diulang-ulang, rangkaian tingkah laku yang dikukuhkan dan digeneralisasikan sehingga menjadi skema tingkah laku yang stabil.
  3. Hal-hal umum yang betul-betul difahami oleh individu bagi mewujudkan sesuatu pengukuhan tingkah laku.
Selain itu, Piaget juga mengatakan bahawa operasi yang berlaku mesti berasaskan pada tiga fenomena mental yang penting iaitu pengamatan, ingatan dan bayangan. Pengamatan merupakan suatu proses di mana kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian terhadap sesuatu yang dilihat. Sementara, ingatan pula ialah satu proses pembinaan, pengumpulan dan pengambilan kembali memori mengenai peristiwa lalu. Manakala, bayangan merupakan satu proses yang menyebabkan sensasi yang statik, selalunya pandangan dan pendengaran yang dikumpulkan di bahagian mental.

Bagi tahap ini, Piaget telah bahagikan kepada dua sub tahap iaitu :
  1. Tahap Pro-konseptual ( 2-4 tahun )
  2. Tahap Pra-operasi ( 4-7 tahun )
Di tahap pra-konseptual, kanak-kanak belum lagi dapat membezakan dan memahami dua atau lebih dimensi pada masa yang sama. Hal ini kerana, mereka belum dapat menyusun penerangan yang ada dalam pemikiran.

Kecerdasan di tahap ini selalunya dihuraikan sebagai kaku, tegang, ketidaksanggupan membuat kesimpulan dan tidak menumpukan perhatian terhadap hubungan di antara peristiwa yang berbeza. Terdapat empat kandungan utama proses kognitif dalam tahap ini iaitu 'egocentrism', 'konsep sebab-akibat', 'peningkatan perolehan bahasa' dan 'pembentukan identiti diri'.

Satu lagi kekurangan di tahap ini ialah dari segi prinsip ketekalan ; iaitu pengetahuan bahawa kuantiti adalah tidak berhubung kait dengan susunan @ keadaan fizikal sesuatu objek. Kanak-kanak yang tidak memahami prinsip ini tidak akan tahu bahawa jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek tidak akan berubah apabila bentuk dan susunannya berubah.

Soalan- soalan :

1. Menurut Piaget, tahap praoperasional berlaku berasaskan 3 fenomena mental berikut kecuali

a) persepsi
b) ingatan
c) bayangan
d) pengamatan


2. Kanak-kanak pada tahap praoperasi ......................

a) Boleh membezakan jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek apabila diubah bentuk dan susunannya
b) Tidak boleh membezakan jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek apabila diubah
bentuk dan susunannya
c) Memahami bahawa kuantiti adalah berhubung kait dengan susunan keadaan fizikal sesuatu
objek
d) Mengatakan bahawa tanah liat yang tela diubah bentuk dari bulat ke segiempat adalah
sama kuantitinya


3. Proses kognitif pada tahap praoperasi ialah :

a) pemikiran konkrit
b) egosentrik
c) operasi formal
d) pemikiran kritis


4. Perkembangan yang paling penting menurut Piaget pada tahap praoperasi ialah ........................


5. Pemikiran ............................... merupakan pemikiran kanak-kanak yang melihat dunia secara
keseluruhannya menurut perspektif mereka sendiri.


6. Pada tahap ..............................., kanak-kanak belum lagi boleh memahami dua atau lebih
dimensi pada masa yang sama.

TAHAP OPERASI KONKRIT (7-11 TAHUN)


Tahap ketiga Piaget dikenali sebagai tahap operasi konkrit iaitu berlaku semasa kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak tidak lagi berfikir secara egosentrik seperti yang berlaku pada tahap praoperasi. Perasaan ingin tahu menjadikan kanak-kanak pada tahap ini akan gemar bertanyakan sesuatu yang menarik minat mereka kepada orang yang lebih dewasa. Berkembangnya semangat inkuiri ini seterusnya menyebabkan mereka mula menerima pendapat orang lain. Kanak-kanak akan mula belajar bermain dan bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya kerana pada tahap ini mereka akan mula memasuki zaman persekolahan.

Satu lagi perubahan yang dapat dilihat ialah mereka sedikit demi sedikit sudah mula memahami unsur-unsur pemikiran logik. Mereka faham akan konsep-konsep nombor, berat, susunan dan padatan. mereka juga faham akan konsep pengekalan sesuatu benda atau objek. Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada umur sebegini masih belum memahami atau menaakul tentang perkara-perkara yang abstrak seperti konsep kenegaraan, ketuhanan, makna hidup dan sebagainya. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang konkrit atau objektif seperti mengenali haiwan, tumbuhan dan sebagainya.

Dengan itu, Inhelder dan Piaget (1958) menegaskan bahawa kanak-kanak pada tahap ini boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas objek lain tetapi tidak boleh beroperasi ke atas operasi atau proses pemikirannya sendiri.

Soalan Objektif

1. Berdasarkan Teori Perkembangan Kognitif Piaget iaitu semasa berusia 7-11 tahun, kanak-kanak mengalami suatu tahap yang dinamakan ...........

a) Operasi Formal

b) Pra-Operasi

c) Operasi Konkrit

d) Operasi Motor

2. ``Keupayaan kanak-kanak memanipulasi konsep dan idea adalah terhad, hanya memahami pada objek yang dapat dilihat sahaja. ``

Tahap manakah dalam Teori Perkembangan Kognitif Piaget yang sesuai untuk menggambarkan penyataan di atas.

a) Deria Motor

b) Operasi Konkrit

c) Pra-Operasi

d) Operasi Formal

3. Inhelder dan Piaget (1958) menerangkan bahawa kanak-kanak di tahap Operasi Konkrit;

a) Boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas sesuatu objek.

b) Boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas sesuatu yang abstrak.

c) Mampu memahami sepenuhnya perkara-perkara abstrak seperti konsep ketuhanan.keadilan dan makna hidup.

d) Belum memahami konsep pengekalan dan unsur pemikiran logik.

Soalan Subjektif

Terangkan perkembangan dan konsep-konsep yang telah dapat difahami oleh kanak-kanak pada tahap Operasi Konkrit.

Jawapan untuk soalan objektif

1. c, 2.b, 3.a





ISU-ISU BERKAITAN TEORI PIAGET


Teori Perkembangan Kognitif Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang Psikologi sejak kajiannya dikemukakan. Kajian Piaget menerangkan peringkat-peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran berasaskan perkembangan skema. Namun, teori dan kajiannya tetap menerima kritikan teutama berkaitan kelemahan teori dan metodologi yang digunakan.

Dari segi kelemahan teori, pengkritik menyatakan bahawa teori Paiget tidak mampu menerangkan struktur, proses dan fungsi kognitif dengan jelas. Ada pengkritik yang mempertikaikan kebenaran wujudnya empat peringkat perkembangan kognitif yang disarankan oleh Piaget (Gelman dan Baillargeon, 1983). Mereka menyatakan sekiranya kanak-kanak melalui setiap peringkat perkembangan kognitif berasaskan set operasi yang khusus, maka apabila kanak-kanak tersebut berjaya memahirkan set operasi tertentu, mereka sepatutnya juga dapat menyelesaikan semua masalah yang memerlukan set operasi yang sama.

Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menunjukkan kemampuan pemuliharaan iaitu yang terdapat pada tahap operasi konkrit, maka berdasarkan teori Piaget, dia sepatutnya dapat menunjukkan kemampuan pemuliharaannya dalam angka dan berat pada masa yang sama. Namun, dalam kajian yang dilakukan oleh Klausmeier dan Sipple (1982) menunjukkan keadaan yang berbeza di mana kanak-kanak sentiasa menunjukkan kemampuan pemuliharaan berat lebih lewat daripada pemuliharaan angka. Keadaan ini adalah bercanggah dengan teori Piaget.

Dari segi metodologi juga, pengkritik mempertikaikan kaedah klinikal yang digunakan dalam kajian Piaget di mana kajian dengan kaedah klinikal sukar untuk diulang. Oleh itu, kesahihannya adalah diragui. Pengkritik juga menuduh Piaget membuat generalisasi daripada sampel-sampel yang saiznya terlalu kecil dan tidak menepati piawaian.

APLIKASI TEORI PIAGET

~PERKEMBANGAN BAHASA~

Setiap benda hidup saling berhubungan antara satu sama lain untuk membentuk satu jaringan dalam kehidupan. Tumbuh-tumbuhan walaupun tidak kelihatan secara jelas jenis perhubungan yang berlaku, namun perkaitan tetap wujud seperti terjadinya proses pendebungan bagi menghasilkan induk baru. Haiwan juga berhubungan dengan mewujudkan suara dan bunyi-bunyian yang hanya akan difahami oleh spesiesnya sahaja. Semut contohnya saling berkomunikasi dengan menggunakan sesungut apabila bertembung dengan semut-semut yang lain. Begitu juga bagi manusia yang akan berkomunikasi dengan menggunakan bentuk yang lebih meluas dan komplikated iaitu penggunaan bahasa yang pelbagai antara bangsa yang berbeza, isyarat, tanda, bahasa badan, pergerakan mata, ekspresi emosi dan sebagainya. Pembentukan dan perkembangan bahasa ini sebenarnya telah bermula sejak bayi lagi dan semakin kompleks sejajar dengan peningkatan usia kanak-kanak.


Dalam teori Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak amat jelas dan ketara pada tahap praoperasi iaitu semasa kanak-kanak berumur 2-7 tahun. Menurut para ahli psikologi, sehingga kanak-kanak berumur empat tahun, mereka sudah menguasai kosa kata, gramatika, makna semantis/paragmatis, dan wacana yang berhubungan dengan pengalaman mereka sehari-hari (Miller, 1979). Kanak-kanak mudah menyerap semua bahasa yang didengar setiap hari bergantung dengan lingkungan keluarga dan masyarakat di mana dia dibesarkan. Seperti contoh, kanak-kanak berbangsa Melayu jika dibesarkan dalam keluarga yang bercakap setiap hari dalam bahasa Inggeris, lama-lama kelamaan akan fasih dalam bahasa Inggeris. Perkembangan bahasa berlaku secara berperingkat-peringkat. Ianya bermula dengan perkembangan bahasa ego yang berfungsi untuk mengungkap keinginan diri tanpa memerhatikan keinginan dan komunikasi dua arah. (Miller, 1979). Bahasa ini diungkap semasa anak-anak menginginkan suatu keperluan, iaitu jika lapar, mereka akan bercakap dan mengadu kepada ibunya. Pada tingkat umur tertentu, barulah anak secara sederhana dapat menanggapi keinginan orang lain dalam berkomunikasi secara pragmatis dan secara perlahan mula menunjukkan minat untuk berbual dan bercakap tentang sesuatu isu.

Kemudian, pembentukan bahasa berkembang lagi setelah anak-anak mula bersekolah sehinggalah mereka menguasai bentuk-bentuk bahasa yang lebih rumit seperti bahasa penulisan yang lebih formal. Sebenarnya perkembangan dan pembentukan bahasa tidak pernah berakhir sehingga akhir hayat seseorang. Pembentukan bahasa akan sentiasa berkembang jika seseorang itu menginginkan perkembangan tersebut berlaku. Contoh yang jelas dapat dilihat apabila manusia berlumba-lumba ingin menguasai bahasa selain daripada bahasa ibundanya. Permintaan inilah yang mewujudkan kursus-kursus pembelajaran bahasa di institusi-institusi pendidikan. Proses asimilasi, akomodasi dan adaptasi yang diketengahkan oleh Piaget akan sentiasa berlaku dalam hidup manusia sehinggalah dewasa.