Monday, January 29, 2007

TAHAP PRAOPERASI ( 2-7 TAHUN )


Menurut Piaget, perkembangan yang paling penting di tahap ini ialah penggunaan bahasa. Kanak-kanak yang berada di tahap ini mula menggunakan simbol di dalam permainan, contohnya mengandaikan buku sebagai kereta apabila ditolak di atas lantai. Namun begitu, dari segi kualiti, pemikiran kanak-kanak masih lagi di tahap yang rendah berbanding dengan orang dewasa. Contohnya, pemikiran kanak-kanak adalah egosentrik di mana, di dunia ini, keseluruhannya dilihat hanya dari perspektif mereka sahaja.

Piaget juga mengatakan bahawa proses perkembangan kognitif kanak-kanak menjadi lebih sempurna menerusi tiga kebolehan asas yang berlaku iaitu :
  1. Perkembangan kebolehan mental kanak-kanak untuk melakukan tingkah laku yang ketara seperti kebolehan mengira.
  2. Melalui latihan yang diulang-ulang, rangkaian tingkah laku yang dikukuhkan dan digeneralisasikan sehingga menjadi skema tingkah laku yang stabil.
  3. Hal-hal umum yang betul-betul difahami oleh individu bagi mewujudkan sesuatu pengukuhan tingkah laku.
Selain itu, Piaget juga mengatakan bahawa operasi yang berlaku mesti berasaskan pada tiga fenomena mental yang penting iaitu pengamatan, ingatan dan bayangan. Pengamatan merupakan suatu proses di mana kanak-kanak memberikan sepenuh perhatian terhadap sesuatu yang dilihat. Sementara, ingatan pula ialah satu proses pembinaan, pengumpulan dan pengambilan kembali memori mengenai peristiwa lalu. Manakala, bayangan merupakan satu proses yang menyebabkan sensasi yang statik, selalunya pandangan dan pendengaran yang dikumpulkan di bahagian mental.

Bagi tahap ini, Piaget telah bahagikan kepada dua sub tahap iaitu :
  1. Tahap Pro-konseptual ( 2-4 tahun )
  2. Tahap Pra-operasi ( 4-7 tahun )
Di tahap pra-konseptual, kanak-kanak belum lagi dapat membezakan dan memahami dua atau lebih dimensi pada masa yang sama. Hal ini kerana, mereka belum dapat menyusun penerangan yang ada dalam pemikiran.

Kecerdasan di tahap ini selalunya dihuraikan sebagai kaku, tegang, ketidaksanggupan membuat kesimpulan dan tidak menumpukan perhatian terhadap hubungan di antara peristiwa yang berbeza. Terdapat empat kandungan utama proses kognitif dalam tahap ini iaitu 'egocentrism', 'konsep sebab-akibat', 'peningkatan perolehan bahasa' dan 'pembentukan identiti diri'.

Satu lagi kekurangan di tahap ini ialah dari segi prinsip ketekalan ; iaitu pengetahuan bahawa kuantiti adalah tidak berhubung kait dengan susunan @ keadaan fizikal sesuatu objek. Kanak-kanak yang tidak memahami prinsip ini tidak akan tahu bahawa jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek tidak akan berubah apabila bentuk dan susunannya berubah.

Soalan- soalan :

1. Menurut Piaget, tahap praoperasional berlaku berasaskan 3 fenomena mental berikut kecuali

a) persepsi
b) ingatan
c) bayangan
d) pengamatan


2. Kanak-kanak pada tahap praoperasi ......................

a) Boleh membezakan jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek apabila diubah bentuk dan susunannya
b) Tidak boleh membezakan jumlah, isipadu atau panjang sesuatu objek apabila diubah
bentuk dan susunannya
c) Memahami bahawa kuantiti adalah berhubung kait dengan susunan keadaan fizikal sesuatu
objek
d) Mengatakan bahawa tanah liat yang tela diubah bentuk dari bulat ke segiempat adalah
sama kuantitinya


3. Proses kognitif pada tahap praoperasi ialah :

a) pemikiran konkrit
b) egosentrik
c) operasi formal
d) pemikiran kritis


4. Perkembangan yang paling penting menurut Piaget pada tahap praoperasi ialah ........................


5. Pemikiran ............................... merupakan pemikiran kanak-kanak yang melihat dunia secara
keseluruhannya menurut perspektif mereka sendiri.


6. Pada tahap ..............................., kanak-kanak belum lagi boleh memahami dua atau lebih
dimensi pada masa yang sama.

TAHAP OPERASI KONKRIT (7-11 TAHUN)


Tahap ketiga Piaget dikenali sebagai tahap operasi konkrit iaitu berlaku semasa kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun. Pada tahap ini, kanak-kanak tidak lagi berfikir secara egosentrik seperti yang berlaku pada tahap praoperasi. Perasaan ingin tahu menjadikan kanak-kanak pada tahap ini akan gemar bertanyakan sesuatu yang menarik minat mereka kepada orang yang lebih dewasa. Berkembangnya semangat inkuiri ini seterusnya menyebabkan mereka mula menerima pendapat orang lain. Kanak-kanak akan mula belajar bermain dan bergaul dengan rakan-rakan yang sebaya kerana pada tahap ini mereka akan mula memasuki zaman persekolahan.

Satu lagi perubahan yang dapat dilihat ialah mereka sedikit demi sedikit sudah mula memahami unsur-unsur pemikiran logik. Mereka faham akan konsep-konsep nombor, berat, susunan dan padatan. mereka juga faham akan konsep pengekalan sesuatu benda atau objek. Walaubagaimanapun, kanak-kanak pada umur sebegini masih belum memahami atau menaakul tentang perkara-perkara yang abstrak seperti konsep kenegaraan, ketuhanan, makna hidup dan sebagainya. Mereka hanya memahami konsep-konsep yang konkrit atau objektif seperti mengenali haiwan, tumbuhan dan sebagainya.

Dengan itu, Inhelder dan Piaget (1958) menegaskan bahawa kanak-kanak pada tahap ini boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas objek lain tetapi tidak boleh beroperasi ke atas operasi atau proses pemikirannya sendiri.

Soalan Objektif

1. Berdasarkan Teori Perkembangan Kognitif Piaget iaitu semasa berusia 7-11 tahun, kanak-kanak mengalami suatu tahap yang dinamakan ...........

a) Operasi Formal

b) Pra-Operasi

c) Operasi Konkrit

d) Operasi Motor

2. ``Keupayaan kanak-kanak memanipulasi konsep dan idea adalah terhad, hanya memahami pada objek yang dapat dilihat sahaja. ``

Tahap manakah dalam Teori Perkembangan Kognitif Piaget yang sesuai untuk menggambarkan penyataan di atas.

a) Deria Motor

b) Operasi Konkrit

c) Pra-Operasi

d) Operasi Formal

3. Inhelder dan Piaget (1958) menerangkan bahawa kanak-kanak di tahap Operasi Konkrit;

a) Boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas sesuatu objek.

b) Boleh melaksanakan sesetengah operasi ke atas sesuatu yang abstrak.

c) Mampu memahami sepenuhnya perkara-perkara abstrak seperti konsep ketuhanan.keadilan dan makna hidup.

d) Belum memahami konsep pengekalan dan unsur pemikiran logik.

Soalan Subjektif

Terangkan perkembangan dan konsep-konsep yang telah dapat difahami oleh kanak-kanak pada tahap Operasi Konkrit.

Jawapan untuk soalan objektif

1. c, 2.b, 3.a





ISU-ISU BERKAITAN TEORI PIAGET


Teori Perkembangan Kognitif Piaget telah mendapat perhatian meluas dalam bidang Psikologi sejak kajiannya dikemukakan. Kajian Piaget menerangkan peringkat-peringkat perkembangan kognitif kanak-kanak dan proses pemikiran berasaskan perkembangan skema. Namun, teori dan kajiannya tetap menerima kritikan teutama berkaitan kelemahan teori dan metodologi yang digunakan.

Dari segi kelemahan teori, pengkritik menyatakan bahawa teori Paiget tidak mampu menerangkan struktur, proses dan fungsi kognitif dengan jelas. Ada pengkritik yang mempertikaikan kebenaran wujudnya empat peringkat perkembangan kognitif yang disarankan oleh Piaget (Gelman dan Baillargeon, 1983). Mereka menyatakan sekiranya kanak-kanak melalui setiap peringkat perkembangan kognitif berasaskan set operasi yang khusus, maka apabila kanak-kanak tersebut berjaya memahirkan set operasi tertentu, mereka sepatutnya juga dapat menyelesaikan semua masalah yang memerlukan set operasi yang sama.

Sebagai contoh, apabila kanak-kanak menunjukkan kemampuan pemuliharaan iaitu yang terdapat pada tahap operasi konkrit, maka berdasarkan teori Piaget, dia sepatutnya dapat menunjukkan kemampuan pemuliharaannya dalam angka dan berat pada masa yang sama. Namun, dalam kajian yang dilakukan oleh Klausmeier dan Sipple (1982) menunjukkan keadaan yang berbeza di mana kanak-kanak sentiasa menunjukkan kemampuan pemuliharaan berat lebih lewat daripada pemuliharaan angka. Keadaan ini adalah bercanggah dengan teori Piaget.

Dari segi metodologi juga, pengkritik mempertikaikan kaedah klinikal yang digunakan dalam kajian Piaget di mana kajian dengan kaedah klinikal sukar untuk diulang. Oleh itu, kesahihannya adalah diragui. Pengkritik juga menuduh Piaget membuat generalisasi daripada sampel-sampel yang saiznya terlalu kecil dan tidak menepati piawaian.

APLIKASI TEORI PIAGET

~PERKEMBANGAN BAHASA~

Setiap benda hidup saling berhubungan antara satu sama lain untuk membentuk satu jaringan dalam kehidupan. Tumbuh-tumbuhan walaupun tidak kelihatan secara jelas jenis perhubungan yang berlaku, namun perkaitan tetap wujud seperti terjadinya proses pendebungan bagi menghasilkan induk baru. Haiwan juga berhubungan dengan mewujudkan suara dan bunyi-bunyian yang hanya akan difahami oleh spesiesnya sahaja. Semut contohnya saling berkomunikasi dengan menggunakan sesungut apabila bertembung dengan semut-semut yang lain. Begitu juga bagi manusia yang akan berkomunikasi dengan menggunakan bentuk yang lebih meluas dan komplikated iaitu penggunaan bahasa yang pelbagai antara bangsa yang berbeza, isyarat, tanda, bahasa badan, pergerakan mata, ekspresi emosi dan sebagainya. Pembentukan dan perkembangan bahasa ini sebenarnya telah bermula sejak bayi lagi dan semakin kompleks sejajar dengan peningkatan usia kanak-kanak.


Dalam teori Piaget, perkembangan bahasa kanak-kanak amat jelas dan ketara pada tahap praoperasi iaitu semasa kanak-kanak berumur 2-7 tahun. Menurut para ahli psikologi, sehingga kanak-kanak berumur empat tahun, mereka sudah menguasai kosa kata, gramatika, makna semantis/paragmatis, dan wacana yang berhubungan dengan pengalaman mereka sehari-hari (Miller, 1979). Kanak-kanak mudah menyerap semua bahasa yang didengar setiap hari bergantung dengan lingkungan keluarga dan masyarakat di mana dia dibesarkan. Seperti contoh, kanak-kanak berbangsa Melayu jika dibesarkan dalam keluarga yang bercakap setiap hari dalam bahasa Inggeris, lama-lama kelamaan akan fasih dalam bahasa Inggeris. Perkembangan bahasa berlaku secara berperingkat-peringkat. Ianya bermula dengan perkembangan bahasa ego yang berfungsi untuk mengungkap keinginan diri tanpa memerhatikan keinginan dan komunikasi dua arah. (Miller, 1979). Bahasa ini diungkap semasa anak-anak menginginkan suatu keperluan, iaitu jika lapar, mereka akan bercakap dan mengadu kepada ibunya. Pada tingkat umur tertentu, barulah anak secara sederhana dapat menanggapi keinginan orang lain dalam berkomunikasi secara pragmatis dan secara perlahan mula menunjukkan minat untuk berbual dan bercakap tentang sesuatu isu.

Kemudian, pembentukan bahasa berkembang lagi setelah anak-anak mula bersekolah sehinggalah mereka menguasai bentuk-bentuk bahasa yang lebih rumit seperti bahasa penulisan yang lebih formal. Sebenarnya perkembangan dan pembentukan bahasa tidak pernah berakhir sehingga akhir hayat seseorang. Pembentukan bahasa akan sentiasa berkembang jika seseorang itu menginginkan perkembangan tersebut berlaku. Contoh yang jelas dapat dilihat apabila manusia berlumba-lumba ingin menguasai bahasa selain daripada bahasa ibundanya. Permintaan inilah yang mewujudkan kursus-kursus pembelajaran bahasa di institusi-institusi pendidikan. Proses asimilasi, akomodasi dan adaptasi yang diketengahkan oleh Piaget akan sentiasa berlaku dalam hidup manusia sehinggalah dewasa.

Teori Kematangan Kognitif Piaget



Teori ini menggabungkan penekanan kognitif dan kematangan. Piaget (1970) melihat peranan persekitaran sebagai penyumbang penyuburan bagi perkembangan otak kanak-kanak. Beliau percaya bahawa kanak-kanak yang aktif ialah kanak-kanak yang belajar. Aktiviti pembelajaran kanak-kanak melibatkan tiga bentuk iaitu;

1) Latihan
Jenis pembelajaran berterusan yang tidak memerlukan pengukuhan. Ia dijana oleh kanak-kanak itu sendiri berbanding rangsangan persekitaran. Peningkatan keberkesanannya ialah melalui latihan seperti aktiviti menendang, memalingkan kepala, menyuap makanan dan lain-lain.

2) Pengalaman Fizikal
Proses pembelajaran berkaitan sesuatu objek. Lazimnya ia dilakukan melalui memanipulasi objek-objek itu. Melalui pembelajaran jenis ini, kanak-kanak memperoleh maklumat yang diperlukan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang lebih abstrak. Rangsangan daripada persekitaran amat diperlukan bagi membentuk pembelajaran jenis ini.

3) Logik Matematik
Pembelajaran tahap tinggi yang bergantung kepada interaksi objek berbanding pengalaman fizikal dengan objek. Ia adalah proses di mana kanak-kanak membentuk peraturan logik berkaitan objek-objek. Peraturan yang dibentuk itu dilaksanakan dengan aktiviti seperti pengiraan penyelesaian masalah secara logik. Ia adalah struktur kognitif yang digunakan oleh kanak-kanak bagi menyelesaikan sesuatu masalah.